Tuesday, April 15, 2014
0
JOHOR BAHRU - Penduduk di rumah flat Jalan Enau 20, dekat Taman Daya, di sini, terpaksa menghidu bau busuk setiap hari selepas berhadapan dengan masalah sistem pembetungan di kawasan kediaman mereka.

Dakwa mereka, masalah yang berlarutan lebih dua tahun lalu itu kian serius setiap kali hujan.

Salah seorang penduduk, Saidah Ahmad, 43, berkata, masalah itu menimbulkan rasa tidak selesa buat dirinya sekeluarga hingga menyebabkan rasa tidak lalu untuk menjamah makanan yang dimasak setiap hari.

“Bau busuk tersebut betul-betul dekat bahagian dapur. Kadang-kadang dapatlah tahan, tetapi ada kalanya rasa tidak selera untuk makan hingga ajak suami dan anak-anak makan di luar sahaja.

“Masalah ini juga menyebabkan saya sekeluarga malu menerima kunjungan saudara-mara dan tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan mereka,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pusat Aduan PKR Tebrau, Steven Chong.

Bagi Zainal Khamis, 47, pula berkata, pada mulanya masalah ini bermula dengan hanya lubang najis tersumbat, namun lama kelamaan ia semakin serius apabila tiada tindakan diambil segera.

“Bau busuk ini semakin kurang menyenangkan apabila hari hujan sampai kami sekeluarga tidak tahu cara bagaimana untuk atasinya,” katanya.

Dayana Norasan, 30, memberitahu masalah berkenaan menyebabkan aktiviti keagamaan golongan wanita yang tinggal di situ tidak dapat dilaksanakan seperti sedia kala dan tertangguh lebih setahun.

“Saya tinggal di sini sekitar empat tahun dan kebiasaannya kaum wanita di sini mengadakan majlis bacaan Yasin dan pelbagai aktiviti lain, namun kini tidak dapat diteruskan berikutan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Puteriwangsa, Abdullah Husin berkata, pihaknya sudah memanjangkan isu kepada pihak berkaitan dan masih menunggu maklum balas positif selain berharap dapat diselesaikan segera.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Johor Bahru, Abdul Aziz Ithnin berkata, pihaknya sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan paip betung di luar dan dalam kawasan berkenaan.

“MBJB juga menasihatkan syarikat pengurusan yang dipertanggungjawabkan di kawasan itu supaya segera menyelenggarakan kerja-kerja berkaitan dengan segera.

“Penduduk juga diminta supaya bersama memberi kerjasama dengan sama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah dan sebagainya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment